Mencari Kebahagiaan Yang Hilang

Kebahagiaan? Apakah maksud sebenar kebahagiaan?Ramai orang yang mahukan kebahagiaan tetapi tidak tahu harus bermula dari mana.

       Kebahagiaan? Apakah maksud sebenar kebahagiaan? Apakah ada penunjuk aras menunjukkan bahagianya seseorang? Ramai orang yang mahukan kebahagiaan tetapi tidak tahu harus bermula dari mana. Jikalau ditanya perihal ini, majoriti akan menjawab harta kekayaan, wang yang melimpah ruah, pangkat, hidup senang serta menemukan cinta sejati. Walhal mereka sendiri tahu semua ini tidak dapat memuaskan nafsu mereka yang tidak pernah berkesudahan. Sesetengah orang mengejar kebahagiaan, yang lain pula menciptanya – Margaret Bowen.

       Namun, bagi saya kesemua ini sebenarnya dapat membahagiakan kita jika dipandu dengan cara yang betul kerana bahagia itu sendiri mempunyai makna yang subjektif. Harta kekayaan kalau digunakan untuk bersedekah dan menginfak kepada orang ramai, pangkat yang ada kalau digunakan untuk membantu demi kemaslahatan masyarakat, perasaan cinta kalau dipandu dengan betul serta tidak mengikut hawa nafsu semata juga dapat memberikan satu kepuasan dan kebahagiaan yang tidak ternilai. Sedar atau tidak ini disebabkan tingkah laku kita yang mendekatkan diri kepada Sang Pencipta dalam usaha menambah baik nilai modal insan yang sedia ada. Hal ini juga disebabkan bahagia itu bukanlah perkara yang kekal bertahan lama kerana bahagia itu datang dari hati dan melibatkan perasaan. Ada hari kita akan dihuni perasaan sedih, kecewa dan berputus asa. Cumanya, apakah tindakan yang perlu kita ambil jika berhadapan dengan situasi sedemikian?

Langkah bagi meneruskan kehidupan setelah mengalami situasi yang sukar

            Di dalam buku Chicken Soup for the Soul karangan Jack Canfield, Mark Victor Hansen dan Amy Newmark ada menyebut tentang langkah-langkah yang dapat diambil untuk menempuhi waktu sukar dalam kehidupan. Menariknya buku ini kerana terdapat 100 kisah inspirasi yang dapat kita amati dalam mempengaruhi cara berfikir kita supaya sentiasa positif dan bersemangat. Antara intipati langkah bagi meneruskan kehidupan setelah mengalami situasi yang sukar:

1. Menangis, Menjerit dan Bersedih:

Langkah ini penting supaya kita dapat menghamburkan kesemua perasaan yang tersimpan di dalam hati. Perasaan sedih dan kecewa jika disimpan lama-lama akan membawa kepada kemudaratan kerana kita akan hilang semangat untuk melakukan apa-apa. Jadi, menangislah sepuas-puasnya hari ini supaya esok hari kita akan bangun dengan matlamat yang berbeza. Sesungguhnya tangisan itu bukanlah menunjukkan kita insan yang lemah sebaliknya membuktikan kita manusia yang mempunyai hati dan perasaan.

2. Luahkan Perasaan Apabila Bersedia:

Normal kita sebagai manusia akan menghadapi masalah dan tekanan perasaan. Jadi untuk mengurangkan bebanan perasaan itu seeloknya kita berkongsi masalah yang dihadapi. Cari seseorang yang boleh kita jadikan sebagai pendengar setia dalam memberi motivasi. Jika anda sebagai suami atau isteri luahkanlah pada pasangan anda dan jika sebagai anak kongsikanlah pada ibu dan bapa. Hal ini penting supaya kita dapat berinteraksi dengan orang lain dalam usaha mengosongkan kekusutan di kepala.

3. Larikan Diri Apabila Perlu:

Langkah ini bukan bermaksud kita melarikan diri dari rumah atau sebagainya. Sebaliknya langkah ini diambil supaya kita melupakan sebentar masalah yang kita hadapi. Luangkan masa sejenak dengan perkara yang dapat membahagiakan kita walaupun kecil. Jikalau anda seseorang yang suka bersukan, habiskan waktu sekejap dengan mengeluarkan peluh. Cari semangat dan dorongan untuk anda berhadapan kembali dengan situasi sukar itu. Berdoa memohon pertolongan daripada Tuhan agar diberi kekuatan dan semangat untuk bangkit kembali. Memang bukan mudah tetapi percayalah ia akan makin mudah jika kita sudah terbiasa dengan rintangan dan cubaan hidup.

4. Bantu Orang Lain:

Perkara ini mungkin kelihatan pelik kerana pada masa yang sama kita sendiri berhadapan dengan masalah dan tekanan tetapi masih mahu membantu orang lain. Namun jangan lupa sesungguhnya janji Tuhan itu pasti kerana sesiapa yang memudahkan urusan orang lain, Allah akan memudahkan urusannya. Bahkan kita akan melihat masalah yang kita hadapi dari sisi yang berbeza. Mungkin ada orang disekeliling kita menghadapi masalah yang lebih besar dan kita akan belajar erti bersyukur yang sebenar.

5. Tempuhi Hari Yang Mendatang Satu Per Satu:

Sedar atau tidak sebenarnya banyak masa terbuang jika kita melayani perasaan sedih tanpa membuat apa-apa. Adakah kita ingin menjadi orang yang hilang arah tujuan tanpa memikirkan masa depan yang masih panjang? Adakah kita ingin menghabiskan waktu berfikir seperti tiadanya hari esok? Cuba kita alihkan perhatian dengan melalui setiap hari mendatang satu per satu. Rancang perkara yang ingin dibuat supaya setiap masa terisi dengan aktiviti-aktiviti yang menjauhkan kita dari perasaan sedih. Ingat jalan menuju kebahagiaan itu tidak ditaburi bunga mawar yang harum sebaliknya dipenuhi dengan duri yang tajam dan pedih.

       Hujan lebat yang seakan tidak akan berhenti membawa sekumpulan awan mendung, mula mengeluarkan cahaya mentari ditemani sinaran pelangi. Begitulah juga kehidupan ini di mana pada suatu saat kita merasakan hidup ini tidak berpihak pada kita janganlah berterusan sedih menyalahkan takdir sebaliknya cuba muhasabah dan bersyukur dengan apa yang kita peroleh. Akal yang ada janganlah dijadikan perhiasan semata, sebaliknya gunakanlah ia supaya kita dapat menjadi pemikir yang baik. Setiap hari mungkin tidak berakhir dengan baik, tetapi pasti ada kebaikan yang tersembunyi dalam setiap hari. Sesungguhnya orang yang sudah menemui makna dan tujuan dalam kehidupan ialah orang yang paling bahagia. Ayuh kita semua semangat dalam mengejar impian dan cita-cita!

Firman Allah s.w.t:

وربك يخلق ما يشاء ويختارۗ ما كان لهم الخيرةۚ سبحان الله وتعالى عما يشركون.

Dan Tuhanmu menciptakan apa yang dirancangkan berlakunya, dan Dia lah juga yang memilih (satu-satu dari makhlukNya untuk sesuatu tugas atau keutamaan dan kemuliaan); tidaklah layak dan tidaklah berhak bagi sesiapapun memilih (selain dari pilihan Allah). Maha Suci Allah dan Maha Tinggilah keaadaanNya dari apa yang mereka sekutukan denganNya. (Surah Al-Qasas: ayat 68)

Dipetik daripada:

Chicken Soup for the Soul (Edisi Bahasa Melayu). Cipta Kebahagiaan Kita.

Leave a Reply