Peranan Lelaki Bergelar Bapa Dalam Rumahtangga

Setiap pasangan yang bernikah mengimpikan hadirnya cahaya mata sebagai pelengkap kepada kehidupan mereka. Sang isteri saat melahirkan anak digelar ibu manakala sang suami digelar bapa.

Pendahuluan

Setiap pasangan yang bernikah mengimpikan hadirnya cahaya mata sebagai pelengkap kepada kehidupan mereka. Sang isteri saat melahirkan anak digelar ibu manakala sang suami digelar bapa. Namun, sedar atau tidak mereka menggalas satu amanah yang cukup besar dalam mendidik anak-anak di era serba canggih ini. Jasa dan pengorbanan seorang ibu tampak jelas apabila bertarung separuh nyawa untuk melahirkan zuriat. Akan tetapi apakah peranan bapa hanya bagai melukut di tepi gantang sahaja?

Memetik kata-kata temubual eksklusif Tuan Jason Leong iaitu penasihat Pertubuhan Bapa Hebat Malaysia (BDM) di dalam suatu wawancara berita Astro Awani, beliau berkata “Sepertimana pokok memerlukan bantuan air dan sinaran matahari, anak-anak juga memerlukan ibu dan bapa kerana air diibaratkan sebagai peranan ibu dan sinaran matahari sebagai peranan bapa. Kedua-dua amat penting dan diperlukan sekali”. Analogi ini jelas menunjukkan tugas bapa itu sama pentingnya seperti tugas ibu bahkan bapa merupakan ketua keluarga dan disampingnya ialah isteri. Persoalannya, apakah peranan sebenar dimainkan seorang bapa yang hebat?

Tugas Seorang Bapa

Ramai yang menyangka tugas bapa hanya berfokus kepada mencari rezeki dan menyedia kelengkapan fizikal sahaja. Sebaliknya bapa memainkan peranan yang sangat penting sebagai nakhoda kapal di dalam institusi keluarga mengemudi kapalnya supaya dapat belayar dengan aman. Profesor sosiologi terkenal Amerika, David Popenoe pernah berkata “Bapa ialah seorang insan yang lebih daripada sekadar menjadi orang dewasa didalam rumah”. Malahan, cara asuhan seorang ayah berbeza daripada seorang ibu dan ciri keistimewaan ini tidak dapat didapati dalam diri wanita. Contohnya, kebanyakan bapa mempunyai cara didikan yang tegas serta lebih mengutamakan anak-anak untuk berdikari dalam proses pembelajaran.  Anak sedari kecil akan diberi peluang meneroka sendiri perkara apa yang diminati.  Mereka percaya setiap saat adalah proses untuk belajar.

Kajian bidang antropologi dan sosiologi menunjukkan filosofi ibu dan bapa dalam konsep cinta dan kasih sayang berlainan antara satu sama lain. Bapa lebih mengekspresikan kasih sayangnya melalui perbuatan dan mereka tidak mahir mengungkapkannya melalui kata-kata. Lihat sahaja perwatakan bapa di rumah kita. Berbanding menguntai kata “Abah bangga dengan Along, abah sayang anak abah” apabila ada khabar gembira dia lebih gemar mengucap “Tahniah” serta “Bagus” disulami dengan pelukan. Walaupun tidak banyak bicara seperti para ibu tetapi kata-katanya penuh bermakna. Cinta seorang bapa kepada isteri dan anaknya diumpamakan sedalamnya lautan dan seluasnya pandangan alam. Golongan ayah ini rela berkorban jiwa dan raga asalkan semua ahli keluarganya gembira.

Selain itu, bapa juga diberi kewajipan untuk menjaga keharmonian anggota keluarganya daripada segala aspek fizikal dan rohani terutamanya psikologi. Ini dapat menjamin keamanan dan keselamatan mereka apabila berada di rumah. Bapa yang melayani isterinya dengan penuh rahmah akan mempengaruhi tabiat anak lelakinya supaya melayani wanita dengan baik kelak. Di sebalik itu, anak perempuan yang membesar dengan bapa bersifat penyayang akan mengetahui cara sebetulnya layanan yang mereka patut terima daripada lelaki. Semua ini penting untuk memastikan mereka tidak terlibat dalam hubungan yang tidak sihat. “Rumahku Syurgaku” ialah antara slogan yang sering kita dengar perihal keluarga bahagia. Tepuk dada tanya sendiri adakah tiap ahli keluarga kita gembira apabila berada di rumah? Saban hari kita mendengar peningkatan kes kesihatan mental yang semakin meruncing. Hal ini menjadi lebih parah disebabkan tekanan perasaan akibat pandemik Covid-19. Perkara ini tidak boleh diambil ringan kerana ia boleh menyebabkan perubahan kepada proses pemikiran dan tingkah laku seseorang. Rentetan itu, mereka yang tergejala lebih cenderung untuk melibatkan diri dengan tingkah laku devian.

Hal ini berhubung rapat dengan suasana didikan dan layanan di rumah. Sebagai contoh, bapa seharusnya memberi sepenuh perhatian kepada perkembangan sahsiah anak dan tidak bertindak bagai melepaskan batuk di tangga terutamanya kepada yang meningkat remaja. Dekatilah anak saat mereka dalam kesulitan. Tegurlah kesalahan yang dilakukan mereka dan janganlah berlebihan berkasih sayang sehingga anak keras kepala. Kadangkala marah itu juga tanda sayang. Penting juga bagi seorang ayah mengetahui prestasi dan sikap anaknya sewaktu berada di sekolah. Luangkanlah masa bertemu mata dengan para guru. Dalam pada itu, bapa yang sentiasa menjaga hubungannya dengan isteri akan mempengaruhi kualiti didikan ibu kepada anak-anak tersebut. Para ibu yang bahagia dengan pasangannya akan berusaha untuk menjadi lebih baik dalam semua aspek. Mereka akan lebih tenang dan tidak beremosi dalam membuat sesuatu perkara. Konflik kekeluargaan juga dapat dihindari. Antara aktiviti ukhuwah pada waktu senggang yang boleh diketuai bapa untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan ialah seperti solat berjemaah dan makan beramai-ramai.

Hakikat Seorang Bapa

Jika ditelusuri, menjadi seorang bapa, suami, dan pekerja pada waktu yang sama bukanlah tugas yang mudah. Semua ini memerlukan pengorbanan besar supaya keluarga yang terbina bahagia. Oleh itu wujud pertubuhan seperti Pertubuhan Pemberdayaan Bapa Penyayang menjadi rakan sokongan memberi inspirasi dan galakan moral untuk menjadi seorang bapa yang penyayang. Peluang ini seharusnya dimanfaatkan sebaik mungkin oleh golongan bapa yang masih terpinga-pinga dalam mencari tips serta kaedah terbaik menjadi suami dan bapa yang bagus. Bertitik tolak dari sini, mereka akan mendapat keyakinan dan menambah baik lagi cara pendekatan didikan dalam keluarga. Sesungguhnya ajaran secara berilmu itu cukup berbeza daripada ajaran secara membuta tuli. Antaranya, apabila ada kesalahan dilakukan oleh ahli keluarga, bapa akan belajar cara peneguran yang bijaksana. Oleh yang demikian, setiap ahli keluarga dapat menerima teguran itu dengan hati terbuka tanpa hilang rasa hormat. Pentingnya berhikmah dalam menegur kerana “ucapan yang baik bagai bungai teratai yang keluar dari mulut. Sedangkan ucapan yang buruk bagai bisa ular yang disembur dari mulut”.

Golongan bapa yang hebat juga seharusnya mempunyai keupayaan mengurus dan merencana keluarga dengan efisien. Mereka harus bijak dalam menguruskan wang supaya tidak terpalit dengan bebanan hutang yang tinggi. Janganlah dibiarkan sampai nasi menjadi bubur baru hendak menyesal. Bapa perlu memantau perbelanjaan bulanan keluarga agar dibelanjakan dengan hemah. Hal ini penting supaya setiap sen yang dikeluarkan mencukupi untuk semua ahli keluarga serta tidak berlaku pembaziran. Rekod setiap perbelanjaan supaya di akhir bulan masih ada simpanan gaji yang berbaki. Perlu diingat perasaan cinta mungkin tidak boleh dibeli dengan wang ringgit akan tetapi boleh terhakis begitu sahaja disebabkan wang dek kerana bebanan hidup.

Seterusnya, mereka juga hendaklah sentiasa mengambil tahu tentang keadaan yang berlaku di rumah sama ada positif atau negatif.  Konsep jaga tepi kain sendiri tidak boleh diguna pakai apabila anda ialah seorang bapa. Maka tidak hairanlah bapa memegang jawatan sebagai pemimpin menenteramkan ahli keluarga apabila adanya musibah dan meraikan apabila adanya kegembiraan. Misalnya, anak dan isteri berasa diri mereka amat dihargai apabila bapa dapat meluangkan masa bersama. Contohnya, menjadi teman setia mendengar luahan hati atau meraikan momen-momen penting seperti hari ulang tahun. Hal ini menyebabkan, mereka lebih menghargai kasih daripada seorang bapa dan tidak perlu menumpang kasih daripada orang luar. Anak-anak cenderung melihat masa sebagai indikator kasih sayang bapa kepada mereka. Kesannya, rasa cinta tersebut akan tumbuh mekar di atas perhatian yang diberi. Janganlah dibiarkan sampai anak perlu membeli masa untuk duduk bersama.

Di samping itu, wujud juga segelintir bapa yang tidak sedar akan tugas mereka dan hanya mengabdikan diri dengan kerja. Apabila seorang bapa menunjukkan sikap kasih sayang dan empati ia akan menimbulkan hubungan dua hala yang akrab antara beliau dan anggota keluarga. Anak-anak bahkan juga isteri akan lebih mudah untuk berkongsi masalah dan menceritakan tentang hari yang dilalui. Sehubungan dengan itu, setiap masalah dapat diatasi bersama-sama, bak kata peribahasa, “hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah”. Seterusnya ini dapat menjurus kepada keluarga yang sihat dan sejahtera kerana setiap daripada mereka berupaya melaksanakan tanggungjawab masing-masing. Hal ini bertepatan dengan matlamat pihak kerajaan untuk mencapai gagasan negara Malaysia maju dan sejahtera melalui peningkatan Indeks Kuaiti Hidup Malaysia (IKHM) yang telah dirangka sekian lama. Antara petunjuk prestasi utama gagasan tersebut ialah kehidupan berkeluarga dalam masyarakat. Tidak dapat disangkal semuanya bermula di rumah dan bapalah yang mencorak anggotanya kerana hak autonomi yang dimiliki. Tiap keluarga yang bahagia membawa kepada masyarakat yang harmoni dan negara yang sejahtera.

Peranan Bapa

Selain daripada itu, antara peranan lain yang dimainkan seorang bapa ialah mempraktikkan budaya serta contoh teladan yang baik. Sebagai kepala keluarga bapalah orang pertama di dalam keluarga yang seharusnya menghindarkan diri daripada aktiviti tidak bermoral dan meruntuhkan akhlak seperti rasuah, sumbang mahram serta judi. Sejarah lampau banyak menunjukkan akibat daripada sikap pemimpin yang tidak amanah dalam tanggungjawab ialah antara penyumbang terbesar kejatuhan empayar dan tamadun. Kerajaan Melayu seperti Kesultanan Melayu Melaka goyah disebabkan faktor dalaman pergolakan kuasa para pemimpin tertinggi dan pengabaian tugas oleh mereka. Apabila bapa menunjukkan perilaku yang tidak baik ia akan memberi kesan negatif kepada suasana kehidupan berkeluarga. Hal ini akan menyukarkan hidup ahli keluarga yang lain bahkan mereka akan terumbang-ambing dek kerana kepercayaan yang diberi telah dikhianati. Tambahan pula, mereka akan hilang tempat bergantung bagaikan layang-layang yang terputus talinya jika bapa disabitkan kesalahan jenayah. Situasi ini akan menyumbang kepada peningkatan kes penceraian dan memberi tanggapan buruk pada institusi perkahwinan. Natijahnya, keluarga akan porak peranda dan institusi keluarga yang terbina sekian lama akan ranap sekelip mata.

Secara analoginya untuk sesebuah kesatuan atau institusi kekal utuh dan teguh terlihat jelas pada kekompetenan pengerusinya mengendalikan organisasi. Hal ini persis dengan peribahasa ibarat kayu besar di tengah padang, tempat bernaung kepanasan, tempat berlindung kehujanan. Kontradiksinya, perkara sebaliknya dapat dilihat dalam senario institusi keluarga yang runtuh. Hal ini mengakibatkan masing-masing daripada kalangan ahli keluarga mula melakukan hal sendiri dan tidak endah antara satu sama lain. Semuanya bermula dari saat hilangnya seorang ketua dalam keluarga. Di saat itu, awan ketenteraman akan berarak pergi dan tidak berupaya lagi menjadi teduhan yang meredupkan kerana kebahagiaan tidak lagi wujud. Jelaslah di sini bahawa kepentingan bapa sebagai peneraju itu perlulah amat dititikberatkan.

Konklusi

Konklusinya, bapa mempunyai pengaruh yang sangat besar dalam pembentukan keperibadian ahli keluarganya. Mereka menjadi contoh tauladan dan ikutan. Agama Islam telah menggariskan panduan bahawa lelaki itu merupakan pelindung kepada isteri dan anaknya. Semua objektif dasar kerajaan dalam membentuk negara mampan dan berdaya saing tidak akan tercapai tanpa bantuan seorang insan digelar bapa. Segalanya bermula di rumah. Bapalah insan pertama yang akan mendorong ahli keluarganya mendokong aspirasi kerajaan. Tidak keterlaluan untuk kita katakan tanpa adanya bapa ibarat rumah tanpa tiang. Oleh sebab itu, kerajaan memandang serius penglibatan aktif golongan bapa dalam membina negara sejahtera.

Leave a Reply