Apa itu Gaya Pemikiran “Six Thinking Hats”?

Pernah atau tidak suatu ketika anda mengalami situasi di mana terdapat masalah tetapi buntu untuk mencari jalan penyelesaian yang sesuai. Tambahan pula, anda terpalit dalam kesukaran memilih sesuatu keputusan. Situasi ini mungkin akan berlaku kepada sesiapa sahaja. Ironinya ini berpunca daripada kegagalan kita untuk mengenal pasti pucuk pangkal masalah tersebut sehingga menyebabkan kurangnya idea. Hal ini akan mendorong kepada pemilihan keputusan yang tidak tepat serta membawa kepada penyesalan di kemudian hari. Oleh yang demikian, beri diri sedikit waktu untuk bertenang dalam mengatur langkah seterusnya tidak terpalit dengan kesulitan itu lagi. Sebenarnya di dalam seni berfikir tiada cara yang terhad dan tepat untuk digunakan. Akan tetapi wujud beberapa kaedah sebagai pemudah cara yang dicipta oleh para ilmuwan terutamanya dari Eropah seperti Edward De Bono.

Edward De Bono boleh dianggap antara pelopor dalam seni berfikir kerana beliau sendiri mengkaji dan menulis banyak buku berkait rapat dengan gaya pemikiran. Antara kaedah tersohor yang dicipta beliau dan diguna pakai sehingga ke hari ini dalam silibus di sekolah mahupun universiti ialah “Six Thinking Hats”. Beliau juga menulis sendiri buku khas tentangnya pada tahun 1985. Buat pertama kali yang mendengar Six Thinking Hats ialah gaya pemikiran di mana mengajak orang berimaginasi seperti mereka sedang memakai topi yang diwakili oleh enam warna berbeza melihatkan pada situasi. Si pemakai topi juga harus membayangkan dirinya bertukar-tukar memakai topi dengan warna yang berlainan. Enam warna tersebut ialah warna putih, merah, kuning, hitam, hijau dan biru. Kemudian, mereka perlu memberi hujah dengan menggunakan kesemua warna tersebut sewaktu menyenaraikan isi-isi penting. Ini menggambarkan betapa pentingnya kita berfikir tentang sesuatu permasalahan dan melihatnya daripada semua aspek supaya dapat mengeluarkan keputusan yang terbaik. Kaedah Six Thinking Hats amat sesuai dalam membantu mereka yang ingin memilih sesuatu keputusan kerana ia dapat meramal perkara yang akan dihadapi oleh seseorang itu melalui justifikasi yang mereka sendiri keluarkan. Untuk menyenangkan para pembaca di sini akan diterangkan satu persatu secara ringkas fungsi warna yang diwakili oleh setiap topi.

1) Topi Putih

Sewaktu memakai topi putih, pemakainya harus mengeluarkan kesemua fakta tentang permasalahan yang dihadapi. Poin utama di sini ialah pentingnya pada saat ini si pemakai bertindak neutral dan objektif dalam mengeluarkan hujah. Seterusnya, dilarang sama sekali anda berhujah menggunakan pandangan dan anggapan semata. Sesuai dengan warna putih yang bersih, supaya anda bersih daripada interpretasi serta pandangan berat sebelah.

2) Topi Merah

Apabila topi merah dipakai, bayangkan perasaan anda tentang kajian kes yang dihadapi. Senaraikan semua emosi yang anda rasa sama ada positif atau negatif dan tidak perlu terikat sama sekali dengan fakta. Si pemakai juga tidak perlu memberi justifikasi sebaliknya ia memberi kesempatan kepada mereka untuk beremosi. Sebagai contoh, “saya amat bersetuju dan suka dengan keputusan ini” atau “saya amat benci akan idea ini kerana ia akan gagal”.

3) Topi Hitam

Sesuai dengan warna hitam yang gelap, si pemakai akan memegang watak orang pesimis dan hanya mengeluarkan hujah yang negatif. Mereka akan menyatakan semua keburukan dan menerangkan mengapa kajian kes ini tidak akan membawa hasil yang baik sekiranya keputusan diterima. Seterusnya, hujah mereka juga perlu disertai dengan justifikasi. Mereka akan mula hilang keyakinan untuk menjalankan sesuatu idea. Hal ini penting supaya si pemakainya sedar risiko tinggi diambil mereka dan dapat mengelakkan kesalahan besar berlaku sewaktu proses kajian kes.

4) Topi Kuning

Saat topi kuning dipakai, si pemakainya harus menyenaraikan kesemua kebaikan dan kelebihan untuk menyangkal kembali dakwaan negatif topi hitam. Seterusnya, anda juga mesti bersikap optimis serta bersemangat dalam memastikan sesuatu usaha kajian kes itu untuk berjaya. Apabila anda bersemangat, anda akan lebih yakin dengan pendirian premis yang anda bawa. Asalkan berlawanan dengan dakwaan topi hitam. Warna kuning yang terang boleh diibaratkan seperti sinaran matahari menerangi kegelapan.

5) Topi Hijau

Ini merupakan antara peringkat yang paling penting di mana idea baru terhasil. Anda harus mengerah otak mengeluarkan konsep baru, alternatif lain serta pembaharuan untuk berfikiran kreatif dan kritis dalam penyelesaian masalah atau kes. Walau bagaimanapun perlu diingat idea itu haruslah praktikal dan tidak mustahil untuk dijalankan.

6) Topi Biru

Boleh dikatakan topi biru merupakan kesimpulan bagi semua topi kerana ia akan bertindak sebagai ulasan untuk setiap warna. Anda dapat menentukan hala tuju kajian kes anda di peringkat ini melalui penilaian hujah yang dibawa topi lain. Hal ini kerana anda akan menghuraikan dan mempersoalkan kembali sejauh mana keberkesanan sesuatu idea serta membawa kepada keputusan. Oleh sebab itu topi biru diletak pada peringkat akhir.

            Konklusinya, banyak perkara yang boleh diamati dan dihayati dalam seni berfikir. Semua ini penting supaya kita jelas akan situasi yang kita hadapi. Seterusnya membawa pada kaedah yang sesuai dan efektif dalam merencana penyelesaian masalah Sebagai contoh melihat pada gaya pemikiran Six Thinking Hats, ada dua poin utama mengapa kita sebagai pemikir harus menggunakan kaedah ini. Pertama sekali adalah untuk memudahkan kita berfikir tentang suatu perkara satu persatu. Seperti yang diterangkan di atas, anda akan menurut turutan warna topi dan dapat fokus sepenuhnya pengeluaran idea bagi setiap peringkat. Hal ini dapat mengelakkan berlakunya percampuran hujah pada masa yang sama serta menghalang keciciran maklumat penting. Tambahan pula, minda akan diajar untuk mengasingkan fakta dan emosi sewaktu berfikir. Kedua, ia memaksa si penggunanya untuk memanfaatkan kepelbagaian dalam berfikir. Oleh yang demikian, minda akan lebih bercambah kerana kita akan dipaksa untuk berfikir hujah-hujah bagi setiap komponen perwatakan yang dibawa oleh topi.

            Kesimpulannya tiada alasan kukuh yang boleh menghalang kita untuk berfikiran secara holistik dan kritis. Para ilmuwan telah menyediakan banyak teori dan kaedah yang boleh kita guna pakai sebagai medium seperti bak kata pepatah, dayung sudah ditangan, perahu sudah di air. Kita haruslah bijak mengkaji dan lebih berani mencuba supaya tidak ketinggalan.

Sumber Rujukan Artikel:

Edward De Bono, Six Thinking Hats

Rujukan lain untuk pembacaan tambahan:

1) Edward De Bono, Parallel Thinking

2) Edward De Bono, Lateral Thinking

3) Edward De Bono, Serious Creativity

Leave a Reply